Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU – Kenyataan kira-kira 40,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Johor berisiko gulung tikar akibat krisis di Asia Barat bersifat retorik politik dan tidak berasaskan keseluruhan data.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kenyataan itu juga tidak ada hujah sokongan yang berpotensi mengelirukan persepsi awam serta komuniti perniagaan, khususnya di Johor.

“Pada masa sama, angka besar tanpa metodologi jelas iaitu tanpa menyatakan sektor terlibat, tanpa menyatakan tahap impak sama ada ringan, sederhana atau kritikal dan tanpa disokong data rasmi boleh disalah guna pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjadi naratif politik yang menjejaskan keyakinan pelabur.

“Kerajaan Johor di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengambil maklum mengenai situasi semasa didorong oleh ketidaktentuan geopolitik Asia Barat sehingga mengakibatkan turun naik harga tenaga global dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

“Ini bukan sahaja melanda di Malaysia, bahkan negara-negara Asia dan seluruh dunia. Bagaimanapun, kerajaan negeri khususnya di bawah Portfolio Pembangunan Usahawan dan Koperasi sentiasa peka dan memikirkan solusi bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor, Datuk Ismail Karim dilaporkan berkata, kira-kira 40,000 PKS di Johor berisiko gulung tikar akibat krisis tersebut.

Ismail berkata, ia kerana kesan yang akan dirasai lebih teruk daripada krisis kewangan pada 1997, pandemik Covid-19 atau mana-mana krisis sebelum ini.

Susulan itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syafiq Aziz menggesa kerajaan untuk melaksana lima langkah bagi menyelamatkan 40,000 PKS itu.

Mohd Hairi berkata, berdasarkan data berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Johor meningkat daripada 124,837 (2023) kepada 131,214 (2024)

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Pusat berkata, kadar pertumbuhan pula meningkat daripada 11.3 peratus kepada 12.1 peratus.

“Ini menunjukkan ekosistem PMKS Johor terus berkembang, bukan mengecut dan dari segi struktur, 68.5 peratus adalah mikro, 29.9 peratus kecil dan hanya 1.6 peratus sederhana.

“Ini juga membuktikan majoriti PMKS berada dalam kategori mikro yang memerlukan pendekatan intervensi bersasar, bukan polisi pukul rata. Maka, sebarang dakwaan ‘40,000 PKS terjejas’ tanpa pecahan sektor adalah tidak berasas dan tidak berintegriti dari sudut analisis ekonomi,” katanya.

Sementara bagi 2025 pula sejumlah RM371,541,786 sudah dibelanjakan dan diselaraskan 42 agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ), melibatkan 71,710 usahawan dengan pelaksanaan 349 program keusahawanan.

“Cadangan yang dikemukaan pula bukan perkara baharu kerana apa yang dibangkitkan ini adalah instrumen dasar sedia ada di peringkat nasional yang telah digunakan dalam pelbagai krisis sebelum ini.

“Sedangkan, usaha untuk menyalurkan suntikan pembiayaan serta bantuan tunai kepada peniaga dan usahawan bukanlah sesuatu yang baharu atau bersifat bermusim dilaksanakan kerajaan Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast