PENGERANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan industri pusat data menjadi antara penyelamat ekonomi negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan.
Menurut Perdana Menteri, meskipun masih terdapat salah faham kononnya kerajaan terlalu memberi tumpuan kepada industri tersebut, namun ia terbukti membantu pertumbuhan ekonomi semasa.
Beliau menjelaskan, dalam keadaan ekonomi global yang turun naik, eksport berkaitan pusat data terus mencatat peningkatan tahunan, sekali gus memberi kelebihan kepada Malaysia.
“Ada orang yang salah faham dia ingat kita fokus industri ini ataupun data center. Saya sebut tadi tarikan data center itu banyak membantu dalam keadaan ekonomi dunia yang terumbang-ambing tidak menentu.
“Eksport dalam beberapa bidang terjejas tetapi pada eksport daripada pusat data itu meningkat, jadi memberikan satu tanda baik bagi negara,” ujar beliau.
Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pengelih di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Ahli Parlimen Pengerang; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia mengambil pendekatan tegas namun tidak bermusuh dengan Amerika Syarikat (AS) demi memastikan hubungan strategik antara kedua-dua negara terus terpelihara.
Jelasnya, dalam suasana geopolitik yang mencabar, negara perlu bijak mengimbangi pendirian prinsip dengan keperluan kerjasama antarabangsa.
Meskipun Malaysia tidak berkompromi dalam isu tertentu termasuk pendirian terhadap konflik di Asia Barat, beliau berkata, hubungan dengan AS tetap dipelihara melalui pendekatan diplomasi matang.
Katanya, pada masa sama, Jemaah Menteri tidak duduk diam dalam berdepan krisis di Asia Barat dan sentiasa mencari jalan untuk meringankan beban rakyat.
“Jemaah Menteri saban hari ada mesyurat, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, ada Kabinet khas, cari apa yang boleh kita buat, (apa yang) kita mampu lakukan. Ada keupayaan kita (sebagai) oil and gas providers dan eksport yang masih ada tinggi, demand terutama dari AS,” ujarnya.
Anwar berkata, walaupun Malaysia lantang dan keras mengutuk tindakan-tindakan AS tetapi pendekatan yang dilakukan bijak supaya tidak sehingga bermusuhan serta masih boleh menjalankan kerjasama.
“Ini the art of diplomacy Kementerian Luar lebih handal dalam hal ini. Jadi sementara kita tegas menyokong Iran kita masih berdagang dengan AS hari ini,” katanya.- MalaysiaGazette















