Pesawat Batik Air

KUALA LUMPUR – Batik Air mengumumkan peluasan rangkaian antarabangsa menerusi pengenalan dua laluan terus baharu ke Shanghai, China dan Sydney, Australia, sebagai langkah memperkukuh kesalinghubungan serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Laluan Kuala Lumpur–Shanghai dijadual bermula 23 Jun ini menggunakan pesawat Boeing 737, sekali gus menambah destinasi Batik Air di China selain Changsha, Chengdu, Guangzhou, Kunming, Xiamen dan Zhengzhou.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, laluan berkenaan akan mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur dengan salah satu pusat ekonomi dan pelancongan utama Asia Pasifik, dengan tambang sehala bermula RM399 bagi kelas ekonomi dan RM1,679 bagi kelas perniagaan.

Dalam perkembangan sama, Batik Air turut memperkenalkan laluan terus Kuala Lumpur–Sydney yang akan mula beroperasi pada 1 Julai ini menggunakan pesawat Airbus A330, dengan kekerapan tujuh kali seminggu.

Perkhidmatan tanpa henti ke Sydney itu melengkapkan rangkaian sedia ada Batik Air ke Australia termasuk Brisbane, Melbourne dan Perth, selain penerbangan ke Sydney melalui Denpasar serta 14 penerbangan terus mingguan Kuala Lumpur–Perth.

Tambang sehala ke Sydney pula ditawarkan bermula RM749 bagi kelas ekonomi dan RM4,069 bagi kelas perniagaan.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, pengenalan kedua-dua laluan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan rangkaian yang berdaya tahan dan dipacu permintaan pasaran.

“Penambahan Shanghai dan Sydney mengukuhkan dua koridor antarabangsa penting kami, menyokong perjalanan pelancongan dan perniagaan serta meningkatkan kesalinghubungan Malaysia dengan pasaran global utama,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy

Katanya lagi, peningkatan kesalinghubungan udara akan memainkan peranan penting dalam merangsang kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan China dan Australia kekal sebagai antara pasaran utama.

Menurut data rasmi pelancongan, Malaysia merekodkan kira-kira 4.7 juta pelawat dari China dan lebih 500,000 pelawat dari Australia sepanjang tahun ini.

Jelas beliau, kemudahan perjalanan termasuk pengecualian visa bagi pelancong Malaysia ke China untuk tempoh singkat turut menyokong peningkatan mobiliti antara kedua-dua negara, manakala Australia terus mencatat aliran perjalanan kukuh melibatkan pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga.

Batik Air turut memperkenalkan inisiatif ‘Kids-Eat-Free’ bagi penumpang kanak-kanak sebagai nilai tambah kepada pengalaman penerbangan keluarga.

Syarikat penerbangan itu juga menawarkan lebih 20 pilihan hidangan dan minuman pratempahan bagi memberi fleksibiliti kepada penumpang, selain menggalakkan tempahan awal bagi penjimatan kos dan mengurangkan pembaziran makanan.

Dengan penambahan laluan ke Shanghai dan Sydney, Batik Air terus mengukuhkan peranannya sebagai penghubung serantau dengan akses ke lebih 60 destinasi di 21 negara menerusi rangkaian lebih 1,400 penerbangan mingguan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast