Timbalan Presiden Pertubuhan Usahawan Nusantara Negeri Johor, Norazreen Ahmad

JOHOR BAHRU – Usahawan Johor disaran mengambil langkah lebih berhemah dalam mengurus perniagaan susulan konflik di Asia Barat dijangka berlarutan dan berpotensi memberi kesan kepada rantaian bekalan serta kestabilan ekonomi global.

Timbalan Presiden Pertubuhan Usahawan Nusantara Negeri Johor, Norazreen Ahmad berkata, situasi geopolitik yang tidak menentu ketika ini boleh memberi impak secara langsung dan tidak langsung kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dalam urusan perdagangan domestik dan serantau Asia.

“Kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik serta turun naik nilai mata wang antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh usahawan sekiranya konflik berkenaan berpanjangan.

“Usahawan perlu lebih peka terhadap perubahan semasa dan merancang strategi perniagaan dengan lebih teliti. Ini termasuk mengawal kos operasi, mempelbagaikan sumber bekalan serta mengelakkan kebergantungan kepada satu pasaran sahaja,” katanya ketika ditemui hari ini.

Norazreen turut menegaskan bahawa PKS perlu memperkukuh daya tahan perniagaan dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital serta meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan.

Tambah beliau, walaupun konflik berlaku jauh dari rantau ini, kesannya tetap dirasai melalui perubahan harga global, terutama dalam sektor tenaga dan makanan, yang seterusnya memberi tekanan kepada kos pengeluaran.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, sikap berhemah dan perancangan jangka panjang amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan,” ujarnya.

Beliau juga menggesa agensi berkaitan untuk terus memainkan peranan dalam memberi sokongan kepada usahawan tempatan melalui latihan, bantuan kewangan serta akses kepada pasaran baharu.

Dalam masa sama, Norazreen menggalakkan usahawan Johor untuk mengambil peluang meneroka pasaran alternatif di rantau Asia Tenggara yang dilihat lebih stabil, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara usahawan tempatan.

Katanya, pendekatan kolaboratif mampu membantu PKS berkongsi sumber, maklumat dan strategi bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan adalah kunci utama. Usahawan yang bersedia dan fleksibel akan lebih berdaya saing walaupun berdepan ketidaktentuan global,” katanya.

Tambahnya, situasi semasa ini dilihat sebagai peringatan kepada komuniti perniagaan untuk sentiasa bersiap siaga dan tidak mengambil mudah faktor luaran yang boleh mempengaruhi prestasi perniagaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast