KUALA LUMPUR – NexG Bhd dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh satu hingga dua hari bagi meredakan dua isu besar yang kembali menjadi perhatian, termasuk persoalan perbelanjaan ratusan juta ringgit serta dakwaan yang mengaitkan syarikat itu dengan tokoh politik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, kenyataan itu akan memperincikan jawapan terhadap isu yang dibangkitkan ahli akademik selain menepis dakwaan lama yang kembali diperkatakan di ruang media.
“Kenyataan akan dikeluarkan sehari dua lagi. Satu untuk menjelaskan isu isu yang di bangkit ahli akademik dan bangkit semula isu isu yang sama.
“Satu lagi untuk menjawab isu yang sengaja di putar belit mengaitkan syarikat dengan bekas menteri,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi aplikasi WhatsApp.
Perkembangan terbaharu itu muncul ketika perbelanjaan syarikat bernilai RM300 juta kembali menjadi topik hangat, walaupun pengurusan menegaskan penjelasan mengenainya telah diberikan kepada Lembaga Pengarah sebelum ini.
Dalam masa sama, NexG menegaskan dakwaan berunsur “mafia korporat” yang kembali tular tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi mahupun prestasi perniagaan semasa syarikat.
Isnin lalu, Pengarah Program MBA Putra Business School di Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menegaskan Abu Hanifah perlu tampil memberikan penjelasan penuh kepada lembaga pengarah berhubung isu berkenaan.
Menurut beliau, tanggungjawab itu tidak boleh dielakkan memandangkan isu yang timbul melibatkan perbelanjaan besar berjumlah RM303.7 juta yang menimbulkan persoalan pelbagai pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) sebelum ini memandang serius dakwaan bahawa Victor Chin Boon didakwa meninggalkan negara ketika siasatan sedang dijalankan berhubung perbelanjaan RM303.7 juta melibatkan NexG.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, Abu Hanifah perlu mengambil tanggungjawab untuk tampil memberi penjelasan berhubung perbelanjaan besar antara November 2024 hingga September 2025.
Situasi itu sekali gus meletakkan tekanan baharu kepada NexG untuk tampil dengan penjelasan menyeluruh dalam masa terdekat, bagi meredakan spekulasi serta memulihkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap tadbir urus syarikat. – MalaysiaGazette
















