KUALA LUMPUR – Syarikat penerbitan, Gerakbudaya akan mencabar tindakan pengharaman dua buah buku terbitan mereka menerusi saluran perundangan sewajarnya.
Syarikat itu dalam satu kenyataan media semalam berkata, pihaknya melihat tindakan tersebut sebagai satu langkah yang menyempitkan ruang wacana dan menghalang perkembangan budaya ilmu.
Jelasnya, buku-buku itu diterbitkan sebagai bahan rujukan dan refleksi sejarah yang membuka ruang kepada masyarakat untuk memikir ulang secara kritis.
“Kami menolak sebarang bentuk penapisan yang bertujuan untuk mengawal ruang fikir dan membungkam wacana sejarah,” katanya.
Terdahulu, Gerakbudaya memaklumkan pihaknya semalam menerima surat perintah larangan di bawah Seksyen 301, subseksyen 8(1) & (2) daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap dua buah buku terbitan syarikat itu.
Buku tersebut ialah Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10 yang diterbitkan pada tahun 2007 di bawah imprin syarikat itu, Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
Menurut Gerakbudaya, sepanjang berada di pasaran, buku itu telah diulang cetak sebanyak tiga kali dan pertama kali diterbitkan pada tahun 2004 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Buku kedua yang turut diharamkan ialah Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah yang diterbitkan pada tahun 2022. – MalaysiaGazette
















