ISKANDAR PUTERI – Projek-projek pembangunan pusat data di negara ini masih dapat diteruskan mengikut jadual walaupun berlaku konflik di Asia Barat yang menyebabkan krisis bekalan tenaga.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, projek-projek tersebut yang melibatkan beberapa status tidak terkesan setakat ini termasuk sektor digital lain.
“Ada juga projek yang sudah mula beroperasi dan ada yang dalam proses dibina selain ada yang masih dalam proses memuktamadkan perjanjian dan sebagainya. Jadi, ianya diteruskan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Wilayah Selatan dI Menara IIB, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil.
Terdahulu, media melaporkan Malaysia giat melaksanakan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan bagi mencapai aspirasi menjadi Negara AI menjelang 2030, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur serta pelaburan mampan.
Katanya, walaupun begitu Malaysia perlu membuat persiapan berdepan sebarang kesan konflik di Asia Barat itu dalam usaha menjayakan visi sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.
Gobind berkata, ketika ini negara masih di atas landasan yang betul namun persiapan adalah wajar kerana bimbang kesannya mungkin menjejaskan visi berkenaan pada masa akan datang.
“Kita masih ‘on track’, buat masa sekarang kita buat persiapan yang perlu bagi memastikan bahawa visi kita untuk mencapai Negara AI 2030 tercapai.
“Kita akan membuat persiapan yang diperlukan sekiranya ada sebarang kesan yang mungkin menjejaskan visi berkenaan dalam masa ke depan, tetapi buat masa sekarang masih ‘on track’,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kementerian turut mencadangkan MDEC untuk mengadakan kolaborasi dengan pihak industri agar dapat mengenal pasti teknologi baharu yang digunakan pada masa hadapan dan melaksanakan persediaan untuk kearah itu.
“Teknologi sentiasa berubah, kita tidak mahu keadaan di mana apabila ada ataupun wujudnya teknologi baru yang boleh membantu kita, kita tidak bersedia untuk menggunakan teknologi tersebut,” ujarnya.- MalaysiaGazette















