JOHOR BAHRU – Seorang wanita melecur dalam kebakaran di rumahnya yang turut memusnahkan enam kenderaan dalam kejadian di Taman Suria di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Johar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 1.40 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 18 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), tiga Unit Bermotor Bomba (RIM) dan sebuah lori tangki dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur kekal berkeluasan 50×50 kaki. Kebakaran tersebut memusnahkan 90 peratus rumah.
“Terdapat pasangan suami isteri dalam rumah itu. Isterinya melecur di bahagian kaki tahap satu manakala suaminya yang berusia 49 tahun terselamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kebakaran turut memusnahkan dua buah kereta, sebuah motosikal dan tiga buah basikal.
Tambahnya, kebakaran dapat dikawal dan padam sepenuhnya pada pukul 2.54 pagi.- MalaysiaGazette
















