Mohd Zamzuri Mohd Isa.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita didenda RM13,000 dan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Genting Klang berhampiran JPJ Wangsa Maju malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik
Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 8.22 malam itu melibatkan sebuah motokar jenis BMW X1 dan sebuah motosikal Yamaha LC135.

Siasatan awal mendapati, kenderaan dipandu wanita tempatan berusia 42 tahun itu gagal berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum melanggar motosikal yang sedang bergerak lurus dengan lampu hijau.

“Motosikal tersebut ditunggang lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama pembonceng perempuan berusia 15 tahun.

“Akibat kemalangan itu, penunggang hanya mengalami kecederaan ringan iaitu bengkak di lutut kanan, manakala pembonceng dan pemandu kereta tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, ujian alkohol mendapati, pemandu terbabit mencatat bacaan 183mg/100ml.

Susulan itu, wanita berkenaan didakwa di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur hari ini di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengaku bersalah.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu hari, denda RM13,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 42(1) akta sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast