Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd (IBSE) menafikan dakwaan Steel Hawk Berhad bahawa pihaknya terlibat penyelewengan dana dan pelanggaran perjanjian bagi beberapa projek kejuruteraan.

IBSE dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan memberi maklum balas secara eksklusif berhubung dakwaan tersebut melalui saluran undang-undang yang betul dan bukan melalui media.

“Kami yakin pihak mahkamah akan melihat perkara ini sewajarnya iaitu satu cubaan terdesak untuk menekan kami susulan kegagalan tawaran pengambilalihan mereka.

“Pada ketika ini, kami hanya boleh menyatakan bahawa kami telah menamatkan perjanjian kerjasama dengan Steel Hawk Berhad baru-baru ini disebabkan pelanggaran syarat perjanjian yang berterusan oleh pihak mereka,” menurut kenyataan itu hari ini.

Jelas IBSE, pihaknya juga akan memfailkan tindakan undang-undang yang sewajarnya atau tuntutan balas dalam tindakan undang-undang yang didakwa dimulakan oleh Steel Hawk Berhad.

“Selain itu, kami juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap kami,” tambah kenyataan itu lagi.

Steel Hawk Berhad hari ini dilaporkan mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pihak termasuk kontraktor utama berhubung dakwaan berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB), telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap IBSE, Always Ahead Engineering Sdn Bhd serta tiga individu iaitu Zafrin Ibrahim, Zulkflee Ibrahim dan Khaeromze Ahmad.

Tindakan itu susulan perjanjian kerjasama yang dimeterai antara SHESB dan IBSE pada 31 Julai 2025 bagi melaksanakan beberapa berkaitan TNB, dengan IBSE bertindak sebagai kontraktor utama manakala SHESB menyediakan pembiayaan dan modal kerja.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast