MetMalaysia
Info: MetMalaysia

KUALA LUMPUR — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gelombang cuaca panas terus menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 10 kawasan di Semenanjung Malaysia kini berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) setakat pukul 4 petang, hari ini.

Menurut jabatan itu, kawasan terlibat meliputi Perlis serta beberapa daerah di Kedah dan Kelantan yang mencatatkan suhu maksimum harian tinggi sejak beberapa hari lalu.

“Terdapat 10 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Perlis, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik (Kedah) dan Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah (Kelantan).

“Tahap Berjaga-Jaga: Suhu maksimum harian 35-37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama 3 hari berturut-turut,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia berkata, status Tahap 1 atau berjaga-jaga merujuk kepada keadaan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius yang berterusan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan memantau perkembangan cuaca semasa bagi mengelakkan risiko kesihatan.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian boleh merujuk di laman web https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/. — MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast