Pelajar sekolah jenis Kebangsaan Tamil Segambut , Eshen Raj Chandru, 11 merupakan tokoh nilam yang menjadikan buku sebagai hobinya masa lapang ketika di Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 ketika di Perpustakaan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Di tengah kemeriahan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia peringkat kebangsaan, seorang murid sekolah rendah mencuri perhatian apabila berkongsi minat luar biasanya terhadap dunia pembacaan.

Murid tahun lima dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Segambut, C. Eshen Raj itu mengakui sudah membaca lebih 2,000 buah buku meskipun masih di bangku sekolah rendah.

“Saya suka membaca cerita lama, komik, poster dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Perpustakaan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Eshen Raj, minat membaca itu bermula sejak kecil dan menjadi rutin hariannya di rumah dengan mampu menghabiskan sehingga 30 buah bahan bacaan dalam sehari.

“Saya banyak membaca di rumah, ibu saya yang belikan buku untuk saya,” katanya lagi sambil tersenyum.

Tambahnya, sokongan keluarga menjadi faktor utama yang mendorongnya terus mendalami minat tersebut, selain membantu meningkatkan pengetahuan dan keyakinan diri.

Sementara itu, kehadiran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada sambutan berkenaan dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda.

Program tersebut bukan sahaja menghimpunkan pencinta buku, malah memberi ruang kepada pelajar seperti Eshen Raj untuk berkongsi pengalaman dan menjadi inspirasi kepada rakan sebaya.

Dalam era digital yang semakin mencabar minat membaca, kisah Eshen Raj membuktikan bahawa budaya membaca masih relevan dan mampu membentuk masa depan generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast