KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dilaporkan semakin baik apabila kini dibenarkan berehat di rumah selepas menerima rawatan di hospital sebelum ini.
Perkembangan itu dikongsikan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, yang menziarahi tokoh berkenaan di kediamannya di Sanglang, Perlis.
“Alhamdulillah, keadaan Tuan Guru bertambah baik berbanding ketika pakteh ziarah beliau di Hospital Pulau Pinang.
“Sekarang Tuan Guru MA berehat di rumah. Semoga terus diberi kesihatan yang baik, insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, anak perempuan kepada Hashim, Husna berkata, kesihatan ayahnya kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan rapi di Hospital Pulau Pinang.
Beliau sudah mempunyai kekuatan untuk keluar mengambil angin di luar rumahnya di sini dengan menaiki kerusi roda.
Terdahulu, media melaporkan Hashim menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah sejak 9 Februari lalu akibat masalah kesihatan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi di Hospital Pulau Pinang bagi pemantauan lanjut. – MalaysiaGazette
















