Mohamad Kairi.

GEORGE TOWN – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menafikan dakwaan yang mengaitkan institusi itu dengan isu penyelewengan dana zakat yang sedang tular sekarang.

Ketua pegawai eksekutifnya, Mohamad Kairi Ghazalli berkata, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat.

Beliau menegaskan, individu atau pihak yang dikaitkan dalam isu berkenaan bukan wakil, ejen, rakan strategik atau penerima kuasa yang dilantik oleh Zakat MAINPP dalam apa jua kapasiti.

“Kita menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam isu tersebut. Individu atau pihak yang dikaitkan adalah bukan wakil, ejen, rakan strategik mahupun penerima kuasa yang dilantik oleh Zakat MAINPP.

“Sebarang cubaan mengaitkan institusi itu dengan pihak berkenaan adalah tidak berasas, mengelirukan serta berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.

“Kita tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang tengah bagi tujuan kutipan zakat. Sebaliknya, kita hanya melantik wakil kutipan yang sah dan diiktiraf mengikut dasar serta prosedur yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Kairi, pihaknya mempunyai dasar jelas berkaitan pelantikan wakil kutipan, termasuk syarat entiti berkenaan mesti beroperasi di negeri ini dan berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata, setiap permohonan pelantikan akan melalui proses saringan dan penilaian teliti melibatkan peringkat pengurusan sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah dan seterusnya dikemukakan kepada MAINPP untuk kelulusan.

“Tempoh pelantikan wakil kutipan adalah selama dua tahun dan sepanjang tempoh tersebut mereka diwajibkan mengemukakan laporan prestasi secara berkala serta tertakluk kepada pemantauan berterusan termasuk audit dalaman.

“Kita juga berhak menilai semula, menyambung atau menamatkan pelantikan mana-mana Wakil Kutipan berdasarkan prestasi dan tahap pematuhan.

“Malah pengurusan zakat di negeri inj dilaksanakan di bawah tadbir urus yang ketat merangkumi pemantauan dalaman, semakan berkala serta mekanisme audit berlapis bagi memastikan setiap dana diurus secara telus, berintegriti dan mematuhi kehendak syariah,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya hanya berurusan melalui saluran rasmi Zakat MAINPP dan tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang mengaku mewakili institusi berkenaan tanpa pengesahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast