KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) telah memohon menyertai parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan ia telah dihantar kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain Pengerusi PN, permohonan turut dihantar kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 24 April lalu, kata Setiausaha Agung PUTRA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.
“Keputusan untuk memanjangkan permohonan ini adalah hasil kesepakatan sebulat suara Biro Politik Parti PUTRA dan sokongan daripada Ahli Dewan Tertinggi (ADT) PUTRA pada Isnin lalu selepas penelitian dan penilaian dibuat ke atas semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nasrul Ali Hasan. falsafah perjuangan PUTRA iaitu ‘Bersih dan Bermoral’ menjadi teras kepada perbincangan serta perkembangan politik mutakhir yang mencabar dan menganggu-gugat kerangka negara yang mula terhakis akibat kerajaan Madani yang mendokong fahaman liberalisme dan pluralisme.
“Pertimbangan permohonan ini juga tidak terhad kepada mewujudkan kerjasama pakatan pilihan raya yang hanya untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi semata-mata tetapi ia dibuat atas prinsip mendokong penyatuan ummah serta semangat untuk bersama-sama memperkasakan perjuangan bangsa dan negara berteraskan Asas Perlembagaan Negara bagi kepentingan semua rakyat Malaysia di bawah Naungan DYMM Raja-raja Melayu melalui sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berintegriti,” katanya.
Sehubungan itu, PUTRA yakin dapat membantu dan menambah sedikit sebanyak kekuatan PN bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-16 dengan menyatukan undi-undi orang Melayu dan Pribumi.
PUTRA berharap agar PN terus menjadi tunjang penyatuan parti-parti politik di Malaysia, sekali gus berperanan sebagai alternatif kepada PH-BN yang dilihat gagal serta dilanda pelbagai isu dan kontroversi. PUTRA juga yakin akan diterima sebagai salah satu parti komponen dalam PN, katanya lagi. – MalaysiaGazette















