Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR — “Saya tak tahu menahu tentang apa yang berlaku di Negeri Sembilan,” kata Datuk Seri Rafizi Ramli meskipun mengakui mengenali rapat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang sudah dianggapnya seperti abang.

Menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau hanya mampu menitipkan doa dari jauh buat Aminuddin, seperti lazimnya seorang adik kepada abang.

Tambah Rafizi, beliau sempat menelefon Menteri Besar Negeri Sembilan itu sekitar jam 10 pagi tadi untuk bertanya khabar.

Katanya, keadaan Aminuddin seperti biasa iaitu gembira ketika menjalankan tugas hariannya.

“Saya tidak bimbang sebab Tok Min ni orang baik. Jauh lebih baik dari saya.

“Saya kenal dia masa dia duduk rumah teres setingkat, pakai Exora. Selepas jadi MB bertahun-tahun, perangainya tetap sama macam masih duduk rumah teres setingkat.

“Apa pun terjadi, Insya Allah tidak mengganggu fikiran Tok Min & Kak Wan (isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof),” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/04/27/14-adun-umno-tarik-sokongan-hilang-kepercayaan-terhadap-mb-n-sembilan/

https://malaysiagazette.com/2026/04/27/konflik-n-sembilan-pn-tawar-kerjasama-dengan-bn-krisis-kepimpinan-aminuddin-memuncak/

Tambah Ahli Pandan itu, beliau percaya Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR memahami konsep pangkat dan jawatan hanyalah amanah yang menjadi pinjaman, mengerti bahawa semua yang berlaku ketika ini mempunyai hikmah.

Awal hari ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.

Malah, Perikatan Nasional (PN) negeri itu hari ini turut mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan BN apabila kelima-lima ADUN gabungan tersebut membuat pendirian itu dalam sidang media di Seremban, petang tadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast