KUALA LUMPUR – Malaysia tidak berhasrat untuk kekal menjadi pengguna Kecerdasan Buatan (AI) semata-mata sebaliknya mahu membina keupayaan dan berdaya saing dalam ekonomi digital ekonomi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu bergerak sebagai pemain aktif dalam pembangunan teknologi dan bukan hanya bergantung kepada inovasi luar.
Sehubungan itu katanya, Malaysia mahu bekerjasama dengan rakan strategik untuk membina keupayaan dan bersaing dalam ekonomi digital global.
Malaysia juga menurut beliau akan melabur dalam pembangunan bakat termasuk melahirkan generasi baharu jurutera, penyelidik dan inovator bagi memastikan negara bukan sekadar pengguna teknologi sebaliknya berkeupayaan membangunkannya sendiri.
“Seiring dengan nilai teras (kerajaan) Madani, penekanan kami adalah kepada rakyat, iaitu memupuk kemajuan ekonomi dan kemakmuran yang disertai dengan keadilan serta keadilan sosial.
“Mengejar transformasi digital semata-mata atas dorongan kemajuan material akan menjadi tidak berkesan jika ia membawa kepada pelebaran jurang ketidaksamarataan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Pusat Inovasi dan Makmal AI Huawei.
Walaubagaimanapun beliau berkata usaha berkenaan perlu berteraskan kepada keperluan rakyat supaya tidak melebarkan kesenjangan sebahagian kelompok.
Anwar dalam masa yang sama berkata, Malaysia akan terus terbuka kepada pelaburan berkaitan AI dari negara Timur dan Barat serta bekerjasama dengan syarikat yang menghormati undang-undang dan keutamaan negara.
Menurut beliau, walaupun teknologi boleh datang dari pelbagai negara namun peraturannya akan ditentukan oleh Malaysia.
“Namun, kita tidak akan menyerahkan keputusan yang paling penting termasuk tentang bagaimana data kita diurus, bagaimana sistem AI digunakan dalam institusi awam, dan bagaimana teknologi baharu diperkenalkan dalam kehidupan rakyat kita.
“Justeru, walaupun teknologi boleh datang dari mana-mana, peraturannya akan ditentukan di Malaysia,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















