Karen Kasturi.

KUALA LUMPUR – Exco Majlis Pimpinan Wanita Pusat Keadilan, Karen Kasturi menegaskan kerajaan perlu segera memperkukuh tindak balas terhadap tuntutan rakyat yang semakin meningkat berhubung isu ketelusan dan akauntabiliti institusi.

Menurutnya, perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ yang berlangsung kelmarin, adalah isyarat jelas bahawa rakyat khususnya generasi muda tidak lagi berkompromi dalam soal integriti tadbir urus.

“Ini bukan sekadar himpunan biasa. Ini mesej jelas daripada rakyat bahawa mereka mahukan perubahan yang lebih tegas dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, situasi itu menunjukkan kematangan politik yang semakin berkembang, dengan generasi muda kini tampil lebih berani menyuarakan pendirian dan menuntut akauntabiliti.

Dalam masa sama, Karen yang juga wakil Malaysia bagi ASEAN Democracy Leaders Alliance (ADLA) menegaskan isu yang dibangkitkan tidak boleh diselesaikan hanya dengan perubahan individu semata-mata.

“Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu adalah langkah awal yang baik, tetapi ia belum mencukupi untuk menjawab persoalan besar yang dibangkitkan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, kebimbangan terhadap kemungkinan pengaruh kepentingan korporat dalam institusi penguatkuasaan turut menimbulkan keresahan awam yang tidak boleh diabaikan.

“Persepsi mengenai ‘mafia korporat’ semakin membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan serius, ia akan terus menghakis keyakinan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan bertindak lebih tegas dan tidak berlengah dalam menangani isu berkenaan.

“Tindakan mesti selari dengan tahap keseriusan isu. Ini bukan masa untuk beri penjelasan semata-mata,” tegasnya.

Karen turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagai langkah penting bagi memastikan ketelusan serta memulihkan kepercayaan awam terhadap institusi negara.

“Rakyat sudah bersuara. Kini terpulang kepada kepimpinan untuk membuktikan bahawa akauntabiliti dan integriti benar-benar dilaksanakan, bukan sekadar retorik,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast