Cropmate Berhad.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar baja, Cropmate Berhad (Cropmate) mengesahkan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya kini dibekukan sementara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan tersebut yang berkuat kuasa sejak 24 April lalu dilaksanakan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Cropmate dalam satu kenyataan berkata, situasi berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan operasi harian kumpulan dan perniagaan tetap berjalan seperti sedia kala.

“Tindakan pembekuan tersebut merupakan prosedur standard siasatan dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku oleh pihak pengurusan mahupun kakitangan syarikat.

“Lembaga Pengarah tidak melihat perkara ini berpunca daripada sebarang penyelewengan dalaman.

“Kami kini sedang mengambil langkah perlu bagi memudah cara proses pembebasan akaun-akaun terjejas mengikut peruntukan Seksyen 44A AMLATFA,” jelas kenyataan itu.

Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, Cropmate memaklumkan, syarikat itu masih mempunyai akses kepada kemudahan perbankan alternatif untuk menyokong aktiviti komersial mereka.

“Pihak syarikat turut memberi jaminan kepada pemegang taruh bahawa isu ini tidak akan memberi kesan kewangan atau operasi yang material kepada prestasi keseluruhan kumpulan.

“Cropmate komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat perkembangan signifikan berhubung kes tersebut,” menurut kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast