Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar A Samad menilai Perikatah Nasional (PN) masih mempunyai peluang nyata untuk menawan negeri itu, berdasarkan perkembangan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, peluang itu tidak akan bermakna jika PN terus bergerak perlahan serta tanpa kejelasan hala tuju.

Menurut beliau, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, rakyat Selangor telah memberi isyarat yang jelas apabila PN meraih 22 kerusi, dengan hanya tujuh kerusi lagi diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Ujarnya, ia bukan angka kecil, tetapi juga bukan sesuatu yang mustahil.

“Malangnya, selepas PRN, PN dilihat gagal menterjemahkan kekuatan ini kepada gerak kerja yang konsisten dan menyeluruh.

“Hakikatnya, politik tidak boleh hanya tertumpu di dalam sidang Dewan.

“PN mesti turun ke lapangan untuk mendampingi rakyat di kampung, taman perumahan, pasar dan komuniti setempat.

“Rakyat mahu melihat kehadiran, bukan sekadar mendengar ucapan-ucapan,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Menurut Iskandar, perubahan kepimpinan PN di peringkat Pusat merupakan peluang untuk membuat perubahan di peringkat negeri Selangor.

Berdasarkan realiti semasa, ujarnya, Pas adalah komponen yang paling konsisten menggerakkan PN di akar umbi, sekali gus wajar Pengerusi PN Selangor daripada Pas.

“Dengan kedua-dua Pengerusi PN Pusat dan Negeri dari Pas akan meningkatkan keberkesanan gerak kerja dan koordinasi. PN tidak boleh lagi dilihat seperti kehilangan arah,” katanya.

Sehubungan itu, ujar beliau, sekiranya PN serius untuk menawan Selangor, maka tindakan mesti bermula sekarang dengan kepimpinan yang jelas, strategi yang tersusun dan gerak kerja yang agresif.

Jelasnya, Pas sebagai parti yang paling senior mesti memainkan seperti “abang besar” yang memimpin dan membimbing.

“Bertindaklah selayakanya. Jangan sampai naga takut kepada ular lidi,” katanya.

Menurut beliau, PN Selangor bernasib baik kerana Pas memiliki kepimpinan yang mantap dan jentera yang lengkap, sekali gus perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh PN.

“Jika ada kepala tetapi tidak ada badan pun tidak ada gunanya.

“Rakyat sedang memerhati. Masa untuk bertindak adalah sekarang. Peluang adalah luas terbentang, jangan disia-siakan,” katanya.

Pada Konvesyen Bersatu Selangor di Shah Alam, Ahad lalu, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu telah mengemukakan cadangan rasmi dengan menghantar surat kepada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi menamakan semula Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi PN Selangor.

Mohamed Azmin sebelum ini melepaskan jawatan itu susulan konflik politik antara Pas dan Bersatu di Perlis yang menyaksikan perubahan jawatan menteri besar antara kedua-dua parti itu.

Sebelum ini, Pemuda Pas dilaporkan mencadangkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri sebagai calon alternatif untuk memimpin PN Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast