Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama ahli baru UMNO ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 sempena Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Golongan muda kini mula melihat UMNO sebagai sebuah parti berpengalaman dan mampu membela nasib rakyat mendorong mereka memilih parti itu sebagai wadah perjuangan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kecenderungan itu dapat dilihat menerusi sambutan menggalakkan dalam kalangan anak muda yang hadir untuk mendaftar sebagai ahli baharu sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 yang bermula hari ini.

Menurutnya, UMNO menyasarkan pertambahan 10,000 ahli baharu dalam tempoh lima hari sambutan berlangsung.

“Alhamdulillah, kita lihat anak-anak muda ini merasakan UMNO mempunyai karakter yang panjang. Ada dalam kalangan mereka datang daripada keluarga yang menyokong UMNO, dan ada juga yang bukan, tetapi terpanggil apabila melihat suasana hari ini.

“Mereka merasakan perlunya sebuah parti yang boleh membela nasib rakyat, tambahan pula UMNO mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara dan tidak pernah mendiskriminasi sesiapa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, sambutan di lokasi pendaftaran juga di luar jangkaan apabila orang ramai mula beratur seawal jam 8 pagi walaupun kaunter hanya dibuka pada jam 10 pagi.

Katanya, kehadiran itu bukan sahaja melibatkan penduduk sekitar malah ada yang datang dari jauh termasuk Pulau Pinang, Perlis dan Kelantan.

“Kelompok anak muda yang mahu menyertai UMNO ini perlu kita raikan sepenuhnya. Sebab itu Presiden mengagaskan pendekatan pendaftaran secara dalam talian bagi memudahkan mereka.

“Prosesnya sangat pantas, tidak sampai seminit untuk menjadi ahli dan kad keahlian juga boleh diperoleh dalam tempoh kira-kira satu minit,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai pengisian turut disediakan sepanjang sambutan termasuk maklumat berkaitan pendidikan, keusahawanan dan perniagaan selain penyertaan agensi seperti MARA yang turut meraikan ulang tahun ke-60.

“Orang ramai dialu-alukan datang ke ‘rumah bangsa’ ini untuk mendapatkan maklumat, menambah ilmu bersama keluarga serta mendaftar sebagai ahli UMNO atau mengambil kad keahlian secara percuma,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast