KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menarik balik cadangan untuk memotong peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak RM3.06 bilion dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM2.39 billion.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan sekiranya serius mahu menangani isu disiplin fiskal adalah memberi keutaman kepada masalah pembaziran, ketirisan, projek tidak perlu, perbelanjaan kosmetik, lantikan politik dan program yang tidak membawa manfaat langsung kepada rakyat bukan menyasarkan hospital, klinik, universiti dan masa depan negara.
“Selepas berulang kali menjanjikan reformasi ekonomi dan pengurusan kewangan berhemah, kerajaan kini beralih arah dengan bercadang untuk menarik keluar sejumlah besar dana daripada sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan tinggi dalam tempoh bajet tahunan yang sama,” katanya menerusi kenyataan.
Tegas Takiyuddin, negara tidak akan maju jika kesihatan awam dikorbankan dalam masa yang sama generasi mudanya pula diketepikan bagi menutup kegagalan pengurusan kerajaan sendiri.
“Cadangan ini jelas amat mengecewakan kerana ia menunjukkan bahawa kerajaan telah hilang pertimbangan waras berkenaan keutamaan sebenar yang diperlukan oleh rakyat dan negara,” beliau berkara,
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, umum maklum KKM sememangnya berdepan dengan pelbagai tekanan serius dalam menyampaikan khidmat terbaik dengan Bajet 2026 menganggarkan keperluan dana lebih RM6 bilion untuk ubat-ubatan, vaksin, reagen dan keperluan habis pakai lain.
Katanya, angka itu tidak termasuk RM1.2 bilion yang diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan dan naik taraf hospital dan klinik.
Tambah beliau, pengurangan besar peruntukan hanya akan memburukkan lagi isu-isu seperti tempoh menunggu yang panjang, kesesakan dan penangguhan naik taraf selain meningkatkan tekanan ke atas petugas kesihatan yang sudah sedia terbeban.
Dalam masa yang sama, cadangan potongan peruntukan untuk KPT pula bermakna kerajaan mendedahkan kebajikan pelajar, kualiti kampus, kecekapan penyelidikan dan kebolehpasaran graduan kepada risiko.
“Dalam pada itu, peruntukan kepada KPT pula disediakan untuk tujuan penyelenggaraan infrastruktur dan menggantikan peralatan usang di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan RM4.4 bilion dikhaskan untuk biasiswa, pinjaman dan bantuan Pendidikan kepada pelajar kurang mampu,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















