Dr. Sathia Prakash Nadarajan

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Selangor, Sathia Prakash mempersoalkan konsistensi pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berhubung penganjuran festival hiburan khususnya melibatkan dua acara berbeza di Kuala Lumpur dan Melaka.

Menurutnya, tindakan Dr Akmal yang sebelum ini menggesa pembatalan festival Rain Rave di Bukit Bintang mencerminkan satu pendirian tegas terhadap isu sensitiviti awam namun pendekatan sama dilihat tidak diterapkan terhadap penganjuran Melaka Water Music Festival yang berlangsung di Pantai Klebang dari semalam hingga esok.

Sathia yang juga Ketua PKR Cabang Hulu Selangor berkata, persoalan utama yang timbul adalah sama ada sesuatu acara dianggap tidak sesuai hanya berdasarkan lokasi atau prinsip penilaian itu seharusnya kekal konsisten tanpa mengira tempat.

“Jika acara seperti itu dianggap tidak sesuai di Kuala Lumpur, mengapa pendekatan yang sama tidak diambil apabila ia berlangsung di Melaka? Bezanya hanya lokasi, bukan pengisian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, isu sebenar bukan terletak pada penganjuran festival semata-mata sebaliknya melibatkan prinsip dan konsistensi dalam membuat keputusan politik.

Tambahnya, keadaan menjadi lebih signifikan apabila pihak yang lantang mengkritik turut memegang peranan dalam pentadbiran negeri sekali gus membuka ruang kepada rakyat untuk menilai dan mempersoalkan pendirian tersebut.

“Jika berani mendesak pembatalan di satu tempat maka harus berani mengambil pendirian yang sama di tempat lain. Jika tidak, ia bukan lagi soal prinsip tetapi soal persepsi dan persepsi itu jelas iaitu selektif,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sathia menegaskan, kenyataan tersebut bukan bersifat serangan peribadi terhadap mana-mana pihak sebaliknya sebagai peringatan bahawa rakyat kini semakin peka dalam menilai tindakan pemimpin.

“Kredibiliti tidak dibina melalui kenyataan yang kuat dalam satu isu sahaja tetapi melalui konsistensi dalam semua keadaan.

“Akhirnya, rakyat tidak menuntut kesempurnaan, tetapi keadilan dan keadilan itu bermula dengan satu perkara asas, iaitu tidak bersikap selektif,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast