KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad mengingatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya terus memberi tumpuan kepada perkhidmatan kepada rakyat dan tidak terlalu terikat dengan polemik politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kerajaan dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang stabil demi kepentingan rakyat.
“Orang bertanya pasal hasrat UMNO untuk bergerak solo, bagi saya itu hal PRU16.
“Perkara penting sekarang adalah beri perkhidmatan terbaik sebagai pasukan Perpaduan untuk kebaikan rakyat,” tulisnya dalam Facebook beliau.
Saifuddin yang juga Ketua Penerangan Keadilan Selangor mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemungkinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo pada pilihan raya akan datang.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan BN hampir pasti bertanding menggunakan kekuatan sendiri pada PRU akan datang, namun tetap mengambil kira persefahaman dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengelakkan pertindihan kerusi dan pertandingan tiga penjuru. – MalaysiaGazette
















