Onn Hafiz ketika berucap dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Johor terus mencatatkan prestasi ekonomi memberangsangkan apabila hasil negeri mencecah RM1 bilion setakat 30 April lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu, jumlah itu meningkat sebanyak RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor, ia sekali gus meletakkan negeri ini pada landasan kukuh untuk mencapai unjuran hasil tahun ini.

“Kejayaan ini didorong oleh beberapa pencapaian utama negeri termasuk pelaburan tertinggi dalam sejarah negara yang bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Johor, malah turut membuka puluhan ribu peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.

“Selain itu, pertumbuhan ekonomi negeri yang kukuh dengan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara tertinggi di Malaysia telah memperkukuh asas fiskal negeri sekali gus meningkatkan keupayaan kerajaan untuk menjana hasil secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan Johor berada pada landasan yang tepat untuk terus berkembang secara mampan dan inklusif.

“Berasaskan kekuatan ini, kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap peningkatan hasil dipulangkan semula kepada rakyat melalui inisiatif berimpak tinggi yang benar-benar dirasai oleh Bangsa Johor,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan tersebut sudah dilaksanakan menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 1 hingga 3 yang merangkumi lebih 100 inisiatif dengan peruntukan hampir RM400 juta, memberi manfaat kepada jutaan rakyat termasuk golongan rentan.

“Insya-Allah, dengan prestasi semasa yang memberangsangkan ini, kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha melindungi rakyat, meringankan kos sara hidup dan memastikan kemakmuran negeri ini dikongsi bersama-sama oleh semua,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast