GEORGE TOWN – Pemuda Pas Pulau Pinang menggesa siasatan segera, bebas dan telus dijalankan terhadap dakwaan rasuah yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pendedahan yang tular di media sosial.
Timbalan Ketua Pemuda Pas negeri, Muhamad Hafis Alias Al-Baghoni berkata, dakwaan dibuat individu dikenali sebagai Sofia Rini yang turut mengaitkan ahli perniagaan, Datuk seri Farhash Salvador itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan integriti institusi kepimpinan negara serta tahap kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran sedia ada.
“Sehubungan itu, satu siasatan yang menyeluruh, bebas dan telus amat diperlukan bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan serta mengelakkan sebarang spekulasi berpanjangan.
“Kita sedia maklum ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei juga telah membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan.
“Namun sehingga kini, tindakan susulan yang jelas sekali gus berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap tahap ketegasan dan keadilan dalam pelaksanaan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sebarang kelewatan dalam mengambil tindakan boleh memberi kesan langsung kepada imej negara, khususnya dari segi keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi serta kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem tadbir urus Malaysia.
“Isu ini perlu ditangani secara profesional dan berintegriti tanpa sebarang campur tangan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Pemuda Pas Pulau Pinang akan menggerakkan jentera untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda komitmen membanteras rasuah.
“Kita menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara segera, telus dan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Ahli perniagaan, Albert Tei membuat laporan polis berhubung video tular memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini yang mengandungi pelbagai dakwaan serius melibatkan Anwar.
Dakwa Albert Tei, dalam video berkenaan, Sofia Rini didakwa menyatakan bahawa Perdana Menteri telah mengarahkanFarhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk membawa keluar sejumlah wang ke luar negara termasuk ke Afrika dan Turki. – MalaysiaGazette
















