KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memuncak apabila parti itu menggantung empat Ahli Parlimennya berkuat kuasa serta-merta susulan didakwa melanggar Perlembagaan dan Kod Etika parti.
Mereka yang dikenakan tindakan ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor.

Menurut surat yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Maman, keempat-empat mereka digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti selepas didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

“Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang dan telah memutuskan bahawa Datuk Seri digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah FASAL 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan Datuk Seri melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli,” menurut surat penggantungan itu.
Mohd Radzi berkata, kempat-empat ahli Parlimen berkenaan bagaimanapun diberi ruang membuat rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat tersebut dikeluarkan.
Turut menerima nasib sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh merangkap Ketua Armada Bersatu Padang Rengas, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain yang turut digantung selama dua penggal atas kesalahan sama.
Dalam perkembangan sama, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani pula dipecat daripada Bersatu selepas Lembaga Disiplin mendapati beliau turut melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.
Turut dipecat ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis yang juga Timbalan Yang di-Pertua DUN Kedah.
Sekurang-kurangnya lima ahli Parlimen parti itu dipecat manakala seorang lagi pernah digantung susulan tindakan disiplin yang diambil kepimpinan parti sejak tahun lalu.
Antara Ahli Parlimen yang dipecat ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang); Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Turut digantung Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee digantung keahlian parti selama dua penggal berkuat kuasa 10 Mac lalu.
Manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum itu turut pernah digantung selama satu penggal sebelum akhirnya dipecat daripada parti.
Tindakan disiplin berkenaan dipercayai berkait dengan krisis dalaman membabitkan kem Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hamzah yang menyaksikan beberapa pemimpin kanan parti saling bercanggah pendirian sehingga mencetuskan perpecahan besar dalam kepimpinan parti itu. – MalaysiaGazette
















