KUALA LUMPUR – Tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mengecam pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di Johor dilihat sebagai tidak demokratik dan disifatkan sebagai satu lagi siri drama dwi-standard parti itu.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata, kelantangan Kor Ming yang turut mengugut untuk melancarkan kempen memungut tandatangan secara besar-besaran adalah tindakan yang ironik dan melucukan.
Menurutnya, Kor Ming seolah-olah terlupa sistem Adun lantikan bukan sahaja wujud di Johor malah telah lama diamalkan seperti yang berlaku di Sabah, Terengganu dan terbaharu di Pahang.
“DAP adalah sebahagian daripada kerajaan negeri di Sabah dan Pahang sejak 2023.
“Jika benar sistem ini bercanggah dengan perlembagaan seperti yang didakwa, mengapa selama dua tahun ini DAP membisu seribu bahasa tanpa sebarang kempen tandatangan di kedua-dua negeri tersebut?” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, pada tahun 2024, ketika Kerajaan Negeri Pahang melantik lima Adun Lantikan termasuk pemimpin daripada Amanah dan PKR di mana tiga daripada tujuh Adun yang mengundi menyokong usul tersebut adalah DAP sendiri.
“Adakah jika sekutu sendiri yang mendapat jawatan, tiba-tiba sistem itu menjadi patuh demokrasi dan patuh perlembagaan?
“Apa yang rakyat lihat sekarang prinsip yang dilaungkan DAP hanyalah permainan pilih bulu.
“Di Johor dipanggil ‘pintu belakang’, tapi di negeri yang mereka perintah dan diam membisu,” katanya.
Tambahnya, tindakan DAP yang terus-menerus mensensasikan isu di Johor sebagai cubaan memanipulasi politik untuk mewujudkan tekanan melalui sentimen emosi.
“Pemimpin yang benar-benar berprinsip sepatutnya memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti kelembapan ekonomi, kenaikan harga barang dan peluang pekerjaan bukannya sibuk mencipta polemik demi kepentingan politik harian.
“Tindakan Kor Ming ini ibarat meludah ke langit, akhirnya terkena muka sendiri.
“Janganlah mentafsirkan demokrasi secara terpilih hanya apabila ia menguntungkan kedudukan politik sendiri,” ujarnya.
Jelasnya lagi DAP seharusnya merealisasikan janji-janji reformasi yang pernah dibuat sebelum ini.
“Jangan sibuk mencari salah orang lain sedangkan diri sendiri pernah menyokong perkara sama,” katanya lagi.
Minggu lalu, sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor meluluskan usul rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berhubung lima Adun lantikan.
RUU itu diperolehi selepas mendapat undian dua pertiga melibatkan 40 daripada 56 Adun yang semuanya daripada blok kerajaan.
Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memaklumkan, pelantikan tersebut berdasarkan peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor Bahagian Ke-2 Pindaan 2026.
Ini bertujuan memperluaskan komposisi Dun dengan memperkenalkan Adun lantikan selepas lantikan yang sama dilakukan di Pahang, Terengganu dan Sabah.
Lima Adun yang dilantik itu akan terlibat dalam perbahasan dan penggubalan dasar dalam sidang Dun Johor nanti. -MalaysiaGazette
















