PUTRAJAYA – Agrobank melancarkan Agro Penjaja-i, inisiatif yang direka khusus bagi memperkasa golongan penjaja dan usahawan mikro khususnya mendepani krisis global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bertepatan dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pihak-pihak seperti bank, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membantu meringankan bebanan peniaga kecil dan penjaja dalam negara.
“Program kita hari ini di antaranya menyahut seruan Perdana Menteri supaya pihak-pihak bank, GLC, GLIC dan lain-lain mencari jalan, berusaha untuk membantu sama ada peniaga-peniaga kecil membantu meringankan bebanan di samping itu meneruskan kerancakan ekonomi, dalam masa yang kita tahu bahawa masalah krisis akan reda,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Sementara itu, Tengku Ahmad Badli berkata, Agro Penjaja-i menyokong agenda keterangkuman kewangan negara di samping
memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan bagi komuniti perniagaan kecil dan sektor tidak formal.
Jelasnya, melalui inisiatif itu, para penjaja dan usahawan mikro berpeluang menikmati pelbagai manfaat dan kemudahan istimewa, tertakluk kepada terma dan syarat antaranya kadar keuntungan istimewa hanya terpakai bagi pembukaan akaun Agro Tani Saudagar-i (untuk kategori individu) atau akaun Agro Perdana Saudagar-i (untuk kategori bukan individu) sahaja.
Selain itu Agro Penjaja-i menyediakan Skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000 serta kemudahan Kredit Cashline-i sehingga RM5,000.
Pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan Kadar Keuntungan Istimewa serendah RM0.50 sebulan serta Laluan Khas (Green Lane); latihan percuma secara dalam talian dan fizikal bagi program Celik Kewangan dan/atau Celik Usahawan; latihan bimbingan dan pemantauan selama tiga bulan; khidmat nasihat dan pembiayaan untuk pensijilan halal mengikut garis panduan syariah.
Pakej DuitNow QR SoundBox berharga serendah RM114, katanya lagi. – MalaysiaGazette
















