Dr. Gunaraj

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kritikan dilemparkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung isu kuil Hindu.

Gunaraj yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, semua pihak berhak menyuarakan pandangan, namun kritikan terhadap kerajaan perlu dibuat secara adil dan membina.

Menurutnya, Perdana Menteri ketika ini sedang berdepan cabaran besar dalam mengurus negara termasuk tekanan ekonomi serta situasi global yang mencabar.

“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan sudah tentu setiap keputusan kerajaan akan dilihat daripada pelbagai sudut berbeza.

“Saya yakin Anwar akan terus berusaha memenuhi harapan serta kebimbangan semua komuniti termasuk masyarakat India. Beliau bukan Perdana Menteri untuk satu kaum sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, Waytha Moorthy mendakwa tindakan Perdana Menteri menjelaskan kenyataannya mengenai isu kuil Hindu yang didakwa ‘disalah tafsir’ hanyalah usaha meredakan kemarahan masyarakat India menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut mempersoalkan mengapa penjelasan tersebut hanya dibuat selepas sokongan masyarakat India terhadap kerajaan didakwa semakin merosot.

Anwar ketika berucap pada program bersama pelajar India sempena acara Malaysian Indian Transformation Unit (MITRA) di Universiti Malaya mengakui sebahagian kenyataannya sebelum ini berkaitan isu kuil Hindu mungkin “disalah tafsir”.

Perdana Menteri turut menegaskan beliau tidak berniat mencetuskan permusuhan terhadap masyarakat Hindu selain menyifatkan isu berkenaan antara perkara paling sukar ditangani kerana melibatkan sensitiviti agama dan kaum.

Mengulas lanjut, Gunaraj berkata adalah tidak adil untuk mendakwa kerajaan sedang ‘mendemonisasi’ kuil Hindu.

Katanya, kerajaan sebenarnya sedang mengadakan perbincangan bersama jawatankuasa kuil, pihak berkepentingan dan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu tanah melibatkan kuil Hindu yang telah berlarutan sejak sekian lama.

“Banyak isu ini sudah wujud sejak puluhan tahun dan memerlukan proses perbincangan serta undang-undang yang teliti.

“Kerajaan bukan mengabaikan kebimbangan masyarakat Hindu tetapi sedang berusaha mencari penyelesaian yang menjaga keharmonian serta mengurus isu pembangunan dan tanah secara bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau berkata, cubaan menggambarkan kuil Hindu seolah-olah sedang diserang hanya akan menimbulkan ketegangan tidak perlu dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Gunaraj berkata, Kerajaan Madani turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa masyarakat India termasuk pengumuman peruntukan RM150 juta MITRA yang disifatkannya sebagai peruntukan tertinggi pernah diberikan.

Katanya, kerajaan juga memberi fokus kepada aspek pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan belia, pemerkasaan wanita, bantuan sosioekonomi serta sokongan kepada usahawan dan pelajar India.

“Semua ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kemajuan dan kesejahteraan masyarakat India di negara ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Terlambat untuk reda kemarahan masyarakat India, kata Waytha Moorthy kepada PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast