KUALA LUMPUR – MIC melahirkan rasa kecewa kerana parti itu didakwa terus dipinggirkan dalam pelbagai pertimbangan penting Barisan Nasional (BN) termasuk membabitkan pelantikan senator dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ahli Majlis Tertinggi MIC, L. Subramaniam berkata, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, hampir semua pelantikan senator di bawah kuota BN dibuat tanpa mengambilkira cadangan yang dikemukakan partinya.
Menurutnya, senarai nama yang diserahkan parti melalui Pengerusi BN juga gagal membuahkan sebarang hasil.
“MIC telah beberapa kali mengemukakan cadangan termasuk bagi pelantikan senator dan jawatan dalam GLC namun sehingga kini tiada perkembangan yang benar-benar mencerminkan komitmen terhadap representasi masyarakat India melalui MIC.
“Difahamkan terdapat lebih 200 pelantikan GLC di bawah kementerian yang diterajui menteri daripada BN tetapi MIC masih tidak menerima representasi yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Subramaniam berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada suara dan tuntutan MIC benar-benar dihormati dalam struktur gabungan tersebut.
Katanya, MIC juga mengambil maklum beberapa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan bahawa usaha sedang dilakukan bagi membantu parti itu namun sehingga kini perakuan yang dikemukakan MIC masih belum mendapat kelulusan.
“MIC sukar memahami mengapa cadangan yang dikemukakan masih belum dipersetujui sedangkan parti lain dalam gabungan sudah memperoleh pelantikan masing-masing termasuk selepas mengkritik Kerajaan Perpaduan secara terbuka,” tegasnya.
Subramaniam berkata, kepimpinan MIC tidak pernah meletakkan kepentingan peribadi sebagai keutamaan malah terdapat tawaran jawatan tertentu yang ditolak demi memastikan komitmen kepada pemimpin lain serta masyarakat India didahulukan.
Beliau menegaskan, tuntutan MIC bukan bertujuan mengejar jawatan semata-mata, sebaliknya memastikan masyarakat India tidak terus tercicir daripada aspek representasi politik, pentadbiran dan peluang sosioekonomi.
“MIC berhak diberikan penghormatan yang setimpal sebagai parti komponen yang mempunyai sejarah panjang dan rekod perjuangan jelas dalam membawa suara masyarakat India.
“Segala bentuk kerjasama politik pada masa depan mesti diasaskan atas kejujuran, saling menghormati dan pengiktirafan yang adil terhadap peranan setiap parti komponen,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette















