KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa menyokong Pusat Autisme Pengaman di PULAPOL menerusi penyediaan fasiliti demi memastikan kanak-kanak dalam kalangan tersebut mendapat akses pendidikan khas yang diperlukan.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, sehingga kini katanya pusat berkenaan beroperasi secara percuma.

“Untuk makluman semua pusat autism di bawah yayasan ini menggunakan kemudahan fasiliti di bangunan kita jadi anak-anak ini belajar di sini seramai lebih kurang 50 orang.

“PDRM akan terus menyokong dan beri bantuan pusat ini melalui tabung kebajikan sosial PDRM,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Autisme Pusat Autisme Pengaman PDRM Tahun 2026, di PULAPOL, hari ini.

Terdahulu Mohd Khalid dalam ucapannya mengumumkan sumbangan 30 buah tablet daripada KOP Mantap Berhad kepada pusat tersebut.

Jelasnya ia bagi memperkasakan akses kepada pendidikan digital melalui pembelajaran yang lebih khusus dan interaktif pusat berkenaan.

Dalam masa yang sama katanya, Great Eastern General Insurance (M) Berhad turut menyumbang wang tunai sebanyak RM10,000.00.

“Di sebalik kejayaan dan kelestarian pusat ini, terdapat satu kelompok insan yang amat berjasa namun jarang menonjolkan diri.

“Oleh itu, dalam kesempatan yang bermakna ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para
penyumbang dana, badan korporat, serta individu persendirian yang telah menghulurkan bantuan kewangan dan material,” katanya dalam ucapan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast