BANGKOK – Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada penduduk Bangkok agar bersedia menghadapi paras air laut tinggi dan kemungkinan banjir di sepanjang Sungai Chao Phraya dari 17 hingga 21 Mei ini.
Selain itu, pihak Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) turut menjangkakan kemasukan air masin ke dalam sungai semakin buruk.
BMA dalam kenyataannya pada Sabtu, memaklumkan bahawa amaran itu dikeluarkan berikutan pengaruh angin selatan dan barat daya yang bertiup di Laut Andaman, Selatan dan Teluk Thailand.
Keadaan tersebut dijangka meningkatkan paras air di muara sungai yang bersambung dengan laut.
Kawasan rendah, khususnya di sepanjang Sungai Chao Phraya, komuniti yang terletak di luar benteng banjir serta beberapa jalan utama termasuk Sukhumvit, Suksawat dan Rama II dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi, menurut BMA.
Pentadbiran bandar itu turut memberi amaran mengenai kemasukan air masin yang ketara sepanjang tempoh berkenaan, yang boleh menjejaskan kualiti air untuk minuman, kegunaan harian dan pertanian. -AGENSI
















