JOHOR BAHRU – Keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan atas dasar ego.

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Aswad Ithnain berkata, keputusan itu berdasarkan keyakinan terhadap kekuatan akar umbi, kesatuan jentera dan kepercayaan rakyat yang selama ini bersama-sama dengan perjuangan BN Johor.

“UMNO dan BN di Johor dibina dengan sejarah perjuangan yang panjang. Kita pernah jatuh, pernah diuji dan pernah dikritik tetapi kita tidak pernah berhenti bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu Pemuda UMNO Johor percaya, rakyat hari ini semakin matang untuk menilai. Siapa yang benar-benar bekerja.

“Siapa yang hanya bermain persepsi dan siapa yang tetap setia berada bersama-sama rakyat ketika susah dan senang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, UMNO menghormati semua rakan dalam kerajaan serta faham pentingnya kestabilan politik untuk negeri dan negara.

Namun, dalam masa yang sama katanya, UMNO tetap mempunyai prinsip, identiti dan pendiriannya sendiri.

“Kita tidak perlu menjadi terlalu keras untuk menunjukkan kekuatan dan kita juga tidak perlu tunduk hanya kerana mahu dilihat selesa.

“UMNO tetap UMNO. BN tetap BN dan Johor mesti terus dipimpin dengan kestabilan, pengalaman dan keberanian membuat keputusan,” katanya.

Katanya, kini tiba masanya untuk seluruh jentera Pemuda UMNO Johor bekerja lebih kuat dan lebih matang.

Jelasnya, PRN Johor nanti bukan sekadar soal menang kerusi tetapi tentang masa depan, kestabilan n egeri dan memastikan suara orang muda terus diberi perhatian.

“Pemuda UMNO Johor akan terus berada di barisan hadapan untuk mempertahankan perjuangan ini dengan semangat, disiplin dan jiwa yang ikhlas.

“Kita gerak bersama. Kita kuatkan saf dan kita buktikan bahawa kekuatan sebenar bukan pada laungan, tetapi pada kerja dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast