JOHOR BHARU – Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menegaskan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak sepatutnya terus dijadikan modal politik berbaur perkauman kerana perkara itu pada asasnya melibatkan masa depan pendidikan anak muda Malaysia.
Beliau berkata, polemik berhubung UEC sering ‘dipersembahkan’ seolah-olah ia ancaman kepada identiti nasional sedangkan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tetap meletakkan keutamaan terhadap elemen kebangsaan termasuk Bahasa Melayu dan Sejarah.
Menurutnya, calon UEC masih perlu memenuhi syarat SPM termasuk memperoleh kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah sebelum dipertimbang memasuki IPTA.
“Jadi mengapa isu ini mahu dilihat seolah-olah ada pihak cuba menggugat sistem negara? Kita bercakap tentang pendidikan dan peluang kepada anak muda, bukannya soal mengangkat satu kaum mengatasi kaum lain.
“Selagi syarat kebangsaan dipenuhi, kenapa mereka tidak boleh diberi peluang?” katanya ketika mengulas perdebatan berhubung pengiktirafan UEC kepada MalaysiaGazette malam ini.
Timbalan Pengerusi DAP Johor itu berkata, persepsi kononnya semua wakil rakyat Cina di Parlimen merupakan pemegang UEC juga tidak tepat dan sering digunakan untuk menimbulkan sentimen tertentu.
“Hakikatnya mungkin hanya sekitar tiga Ahli Parlimen sahaja yang pernah mengambil peperiksaan UEC.
“Saya sendiri pemegang UEC dan saya bercakap dalam bahasa kebangsaan seperti biasa, bekerja dalam sistem negara ini seperti rakyat Malaysia lain.
“Jadi naratif bahawa pemegang UEC tidak boleh menyesuaikan diri dalam kerangka nasional itu tidak benar,” ujarnya.
Beliau berkata, terdapat juga pelajar Melayu yang mengambil UEC, menunjukkan sistem itu bukan eksklusif kepada satu kaum seperti yang sering digambarkan.
Katanya, isu UEC sering menjadi mangsa kepada politik persepsi kaum kerana ada pihak melihatnya menerusi ‘cermin mata perkauman’ berbanding sudut pendidikan dan kelayakan akademik.
“Apabila bercakap soal UEC, terus ada pihak melihatnya sebagai isu Cina lawan Melayu sedangkan kita sepatutnya bincang soal merit, akses pendidikan dan masa depan pelajar.
“Kalau seseorang itu memenuhi syarat Bahasa Melayu dan Sejarah, kenapa mereka tidak boleh dipertimbangkan untuk masuk IPTA?” katanya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kluang itu turut mempersoalkan tindakan beberapa pihak yang kini lantang menentang pengiktirafan UEC walaupun pernah menyatakan persetujuan terhadap perkara itu dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.
Menurutnya, pelbagai parti politik termasuk PAS, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pernah menyentuh komitmen berkaitan pengiktirafan UEC dalam manifesto masing-masing.
“Jadi apabila kerajaan hari ini mahu melaksanakan apa yang pernah dijanjikan, tiba-tiba ada yang membantah.
“Ini menyebabkan rakyat mempersoalkan sama ada manifesto pilihan raya benar-benar ikhlas atau hanya sekadar janji untuk mendapatkan undi,” tegasnya.
Beliau turut mengesahkan kenyataan Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa perkara itu telah dipersetujui dalam Kabinet.
Tambahnya, keputusan berkaitan pengiktirafan UEC juga bukan isu yang muncul secara tiba-tiba menjelang pilihan raya, sebaliknya telah dibincangkan lebih awal di peringkat Jemaah Menteri.
Katanya, pendekatan terbaik ialah membenarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi berkaitan menilai pelaksanaan secara profesional mengikut keperluan fakulti serta standard akademik.
“Perdana Menteri sendiri sebut IPTA boleh menjalankan proses penilaian mengikut fakulti masing-masing. Jadi ia bukan satu keputusan membuta tuli atau pintu dibuka tanpa syarat.
“Kita perlu matang dalam melihat isu pendidikan. Jangan semua perkara mahu dipolitikkan sampai akhirnya anak muda yang menjadi mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Shu Qi berkata, Kerajaan Madani juga mahu memperluaskan laluan pendidikan kepada pelbagai kelompok termasuk pelajar tahfiz dan bukan hanya pemegang UEC semata-mata.
Beliau berkata, fokus utama sepatutnya tertumpu kepada bagaimana kerajaan dapat meningkatkan kapasiti dan peluang kemasukan IPTA supaya lebih ramai anak Malaysia dapat melanjutkan pengajian.
“Kita bukan bercakap hanya tentang UEC. Kita juga bercakap tentang murid tahfiz dan pelajar daripada sistem arus perdana.
“Persoalannya sekarang, adakah laluan dan kapasiti sedia ada mencukupi untuk menampung bakat serta potensi anak muda negara ini?” tegasnya. -MalaysiaGazette















