JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid untuk berunding berkenaan keputusan Barisan Nasional (BN) tanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perdana Menteri berharap rundingan akan berjalan dengan baik untuk kebaikan kedua belah pihak.
“Saya harap jumpa Presiden UMNO, runding baik-baik di mana yang silap (kita) sudah tolong banyak tolong semua.
“Kalau berebut, di bawah bergaduh, ambil iktibar, apa yang penting ikthiar tolong rakyat,” katanya berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka Program Perumahan Rakyat (PPR) Tan Desa Mutiara di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.
Menurut Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor, keputusan tersebut sudah mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti tersebut.
Anwar juga berharap penduduk di negeri itu akan membantu memenangkan calon PH sekiranya bertanding di sini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin supaya sentiasa turun padang dan bukan apabila menjelang pilihan raya sahaja.
Beliau berkata, pemimpin perlu ikhlas dan tidak hanya turun padang berebut untuk membantu rakyat semasa musim pilihan raya.
Dalam pada itu, beliau meluluskan peruntukan RM1 juta untuk baik pulih kemudahan di Taman Desa Mutiara. – MalaysiaGazette
















