KUALA LUMPUR – Kemasukan lepasan sijil swasta dan luar negara seperti A-Level ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sepatutnya dihentikan segera kerana tindakan itu menjadi punca yang membuka ruang kepada desakan berterusan bagi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, keputusan membenarkan A-Level sebelum ini merupakan satu kesilapan besar dasar pendidikan negara.
“Bercakap tentang di luar sistem ini, bagi sayalah, A-Level pun tak boleh kita terima untuk tempat-tempat di IPTA. Sebab kita terima A-Level, ibaratnya kita membuka pintu pagar empangan air.
“Dengan itu UEC desak. Mengapa A-Level boleh? Dia (A-Level) pun bukan dalam Bahasa Melayu dan bukan pakai kurikulum nasional.
“Sama dengan UEC. Kerana kita buka A-Level, maka kita pun terpaksa bagi UEC dan selepas ini entah apa-apa lagilah. Silap kita, kita buka A-Level,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk ‘Apa Sebenarnya UEC: Kenapa Ia Ditentang’ bersama serorang lagi panel Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee.
Mengulas mengenai prinsip pendidikan, Kok Seong berkata, dengan menambah lagi pengecualian kemasukan hanya akan merosakkan ekosistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.
“Ya, two wrongs don’t make a right, sekarang kita tambah three wrongs. Kononnya tahfiz pun wrong. Tak boleh right juga.
“Pertamanya, kita tak boleh buka sistem itu untuk kemasukan yang entiti luar itu. Kita mula dengan A-Level, menyebabkan UEC desak.
“Mengapa perlu double standard? Tengok lepas ni entah apa-apa lagi. Bagi saya, cukup-cukuplah sistem kita untuk kitalah, sebab tempat kita pun terhad,” tegasnya.
Kok Seong turut menarik perhatian mengenai realiti persaingan sengit dalam sistem UPU apabila tempat pengajian sedia ada bagi anak-anak watan sendiri masih tidak mencukupi sehingga ramai pelajar cemerlang gagal mendapat kursus pilihan mereka.
“Setiap tahun selepas UPU mengeluarkan keputusan, selalu kita kedengaran anak-anak Cina yang begitu cemerlang tak dapat kursus yang mereka nak.
“Mereka mohon perakaunan saja, bukannya perubatan pun, tapi dapat Sains Politik. Nak jadi doktor tak dapat, akhirnya yang ada kejuturuteraan kimia.
“Inilah maksud tempat kita terhad. Kita sendiri pun makan tak cukup, yang tu saya kata seperti menyusu beruk di hutan, anak di rumah mati kelaparan apabila kita bagi peluang untuk A-Level dan UEC,” katanya lagi.
Jelas beliau lagi, sama da A-Levels atau UEC, kedua-duanya sudah ada laluan mereka sendiri yang mereka pilih untuk berada di dalam laluan itu.
“Kita negara demokrasi liberal kan, kita tak menyekat. UEC itu satu entiti yang sah. Dalam Akta Pendidikan Tahun 1996, institusi ini berada di laluan swasta.
“Saya kira laluan mereka lumayan juga. Sekali-sekala dibantu oleh dana kerajaan walaupun ditentang oleh sesetengah pihak, tetapi lumayan juga dana itu,” ujarnya.
Kok Seong turutmenyentuh mengenai pengumuman kelonggaran baharu yang diberikan kerajaan baru-baru ini, Kok Seong menyifatkan ia sebagai langkah yang memakan diri kerana tidak memberikan impak yang dimahukan oleh masyarakat Cina.
“Tumpuan akademik di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) adalah berorientasikan bidang profesional yang tinggi, bukannya bidang sastera atau linguistik.
“Dengan tawaran yang baru yang diumum dua tiga hari yang lepas, ia sesuatu yang saya sifatkan sebagai memakan diri di mana pihak yang diberikan anugerah itu pun tidak berpuas hati dengan tawaran tersebut iaitu pengkhususan dalam bidang Bahasa Cina Mandarin yang diperluaskan ke IPT saja.
“Jadi saya kira, kita harus melihat kembalilah dalam hal ini di mana masyarakat Cina melihatnya sebagai sesuatu yang tidak sesuai dengan tawaran yang diberikan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menurut Kok Seong, isu tuntutan UEC ini sepatutnya dipatahkan sejak awal kerana model institusi tersebut berada di luar kerangka sistem kebangsaan dan orang Melayu didakwa tidak akan bersedia untuk menerima pengiktirafan penuh tersebut.
“Memang ada janji ia akan dibuka dan sebagainya tapi saya kira orang Melayu tak bersedia untuk membukakannya. Kita dapat lihat dari dahulu lagi harapan palsu diberikan dan sekarang pun masih harapan palsu. Sama saja, perkhususan dalam Bahasa Cina.
“Maknanya UEC yang kini menjadi krisis sekarang sepatutnya boleh pun dipatahkan tunasnyalah pada awal-awal lagi. Tak boleh diterima kerana berada di luar sistem,” katanya. – MalaysiaGazette
















