Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin Mohamed menyelar tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan parti selepas tewas dalam pemilihan dengan menyifatkannya sebagai sikap tidak matang serta membelakangkan amanah perjuangan.

Menurut beliau, tindakan kedua-dua bekas pimpinan itu jelas memperlihatkan ada segelintir pemimpin yang hanya mampu menerima kemenangan tetapi gagal menerima kekalahan dalam proses demokrasi parti.

“Bila menang mereka bercakap soal reformasi dan demokrasi tetapi apabila kalah terus memilih meninggalkan parti. Ini bukan budaya perjuangan yang sebenar.

“Keadilan sudah terlalu banyak kali dikhianati pemimpin sendiri, namun parti ini tetap berdiri kerana kekuatan anggota akar umbi yang tidak pernah lari meninggalkan perjuangan,” katanya hari ini.

Zainol berkata, tindakan Rafizi dan Nik Nazmi juga perlu dijadikan pengajaran besar kepada kepimpinan parti supaya lebih berhati-hati memilih calon dan pemimpin yang benar-benar setia ketika susah dan senang.

Beliau turut menggesa parti mengambil pendekatan lebih tegas terhadap mana-mana pimpinan yang dilihat gagal menggerakkan jentera menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sudah tiba masanya parti berhenti melayan budaya merajuk dan merengek segelintir pemimpin. Anggota di bawah berkorban bertahun-tahun membina parti, bukan untuk melihat ada yang meninggalkan perjuangan hanya kerana kalah pemilihan,” ujarnya.

Menurutnya, jentera penerangan parti juga perlu segera diperkasakan supaya segala pencapaian Kerajaan Madani dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau berpandangan, Pakatan Harapan (PH) perlu memperkukuh kekuatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada rakan politik lain.

“Yang pergi biarkan pergi. Keadilan tidak akan lumpuh hanya kerana beberapa nama besar memilih haluan sendiri. Nak kawan boleh, nak lawan pun boleh. Tetapi kalau memilih untuk melawan, kita akan lawan habis-habisan demi mempertahankan perjuangan dan mandat rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast