Abu Bakar Hamzah

KUALA LUMPUR – Perlis berkemungkinan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal sekiranya Pas membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Abu Bakar menegaskan beliau bersedia memohon pembubaran DUN sekiranya terdapat cubaan menggugat pentadbiran kerajaan negeri menerusi usul berkenaan.

Menurutnya, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat sekiranya berlaku usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Kalau ada usul undi tidak percaya dibawa, saya akan mohon bubar DUN. Kalau perkara itu berlaku atau ada usaha ke arah itu, saya tiada pilihan lain,” katanya kepada media hari ini.

Kenyataan beliau menambah hangat desas-desus mengenai kedudukan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Perlis menjelang sidang DUN yang dijadual berlangsung awal bulan depan.

Sebelum ini, timbul dakwaan kononnya terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam gabungan kerajaan negeri tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan Abu Bakar.

Bagaimanapun, beberapa pimpinan Pas Perlis sebelum ini menafikan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar menerusi usul undi tidak percaya.

Dalam pada itu, Abu Bakar menegaskan, pentadbiran kerajaan negeri ketika ini masih stabil dan terus berfungsi seperti biasa.

Beliau turut memberi bayangan sebarang percubaan menggugat kestabilan kerajaan hanya akan menyebabkan rakyat sekali lagi terpaksa melalui proses pilihan raya.

Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar Perlis pada penghujung tahun lalu bagi menggantikan wakil rakyat Pas, Mohd Shukri Ramli.

Pelantikan beliau sebelum ini turut mencetuskan perhatian susulan perkembangan politik dalaman melibatkan komponen Perikatan Nasional (PN) di negeri berkenaan.

Untuk rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dengan PN masih menguasai majoriti mudah pentadbiran negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast