Mohd Muzhaffar menyerahkan cenderahati kepada guru besar dalam Program khatan Perdana Yayasan Penyayang Iskandar Puteri Zon Tanjung Kupang di SK Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melabel pemimpin muda sebagai ‘budak-budak’ disifatkan tidak wajar dikeluarkan seorang pemimpin tertinggi negara.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Muzhaffar Ra’il berkata, pemimpin usia muda di peringkat negeri tidak menjadi isu dan Johor bukan sahaja Menteri Besar orang muda tetapi jugak kebanyakan barisan Exconya.

“Di Johor, banyak bantuan telah disalurkan. Pemimpin muda seperti Datuk Onn Hafiz Ghazi menunjukkan gaya kepimpinan baharu dengan turun padang bersama-sama rakyat.

“Rakyat mahu melihat wakil mereka hadir dan menangani isu secara langsung. Walaupun ada yang menganggap beliau ‘budak muda’, saya percaya kepimpinan generasi muda amat diperlukan,” katanya.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Penyayang Iskandar Puteri itu berkata demikian kepada pemberita selepas Program khatan Perdana Yayasan Penyayang Iskandar Puteri Zon Tanjung Kupang di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Kupang di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel pemimpin muda sebagai budak-budak ketika mengulas pendirian Barisan Nasional (BN) Johor bertanding solo menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian ketika berucap dalam kemuncak Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru, Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Muzhaffar yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Ladang berkata, pendekatan Onn Hafiz amat disenangi serta berkesan kerana mampu menggerakkan agensi apabila ada masalah, melaksanakan program dan mendekati rakyat.

Mengenai keputusan BN tanding solo PRN Johor nanti, beliau berkata, ia merupakan keputusan berani daripada seorang pemimpin muda dan tidak perlu melakukan pusingan U hanya kerana ada pihak tidak senang dengan ketetapan tersebut.

Jelasnya,semua pihak perlu menyedari sejak dahulu tiada konsep kerajaan Perpaduan di Johor dan walaupun begitu peruntukan tetap diberikan seimbang termasuk di kawasan pengimbang.

Ditanya mengenai Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang sudah mula bertapak di Johor dengan keahlian 2,800 dan juga berhasrat tanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor, perkembangan itu bukan ancaman kepada UMNO.

Tambahnya, mana-mana parti bebas untuk bertanding pada PRN Johor tetapi akhirnya nanti rakyat bijak menilai pihak mana yang banyak menjaga kebajikan rakyat Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast