KUALA LUMPUR – Pendekatan mengklasifikasikan semua isi rumah T20 sebagai golongan ‘berpendapatan tinggi’ untuk tujuan rasionalisasi subsidi disifatkan semakin tidak relevan dan gagal mencerminkan realiti ekonomi sebenar rakyat ketika ini.
Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, ramai keluarga dalam kelompok T20 bawahan khususnya di kawasan bandar sebenarnya turut berdepan tekanan kewangan serius.
Ujar beliau, ini walaupun mereka secara teknikal dikategorikan sebagai golongan berpendapatan tinggi.
Menurutnya, keluarga dengan pendapatan sekitar RM11,000 hingga RM13,000 sebulan belum tentu menikmati kehidupan selesa kerana masih dibebani pelbagai komitmen termasuk pinjaman perumahan, kos pendidikan anak, bayaran kenderaan, perbelanjaan kesihatan serta kenaikan harga barang dan utiliti.
“Selepas ditolak semua komitmen tersebut, pendapatan boleh guna dan kuasa beli sebenar mereka mungkin tidak jauh berbeza dengan golongan berpendapatan sederhana lain.
“Kesukaran ekonomi hari ini juga tidak lagi tertumpu kepada satu kategori sahaja kerana ramai keluarga pekerja dalam kelompok T20 bawahan turut bergelut dengan tekanan inflasi dan penyusutan kuasa beli,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya terus bergantung kepada klasifikasi T20 semata-mata sebagai asas utama dalam pelaksanaan subsidi bersasar dan bantuan kewangan.
Katanya, pendekatan itu terlalu umum serta gagal mengambil kira perbezaan realiti kewangan rakyat terutama mereka yang tinggal di bandar dengan kos sara hidup jauh lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkenalkan sistem klasifikasi yang lebih dinamik dan adil dengan mengambil kira faktor seperti pendapatan boleh guna isi rumah, jumlah tanggungan, saiz keluarga, beban hutang serta perbezaan kos sara hidup antara bandar dan luar bandar.
“Pendekatan lebih bersasar dan berasaskan data akan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa menghukum rakyat yang bekerja keras.
“Reformasi subsidi perlu dilaksanakan dengan penuh keprihatinan dan kefahaman terhadap realiti sebenar di lapangan supaya tiada keluarga tercicir hanya kerana dilabel di bawah kategori pendapatan tertentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette















