KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kenyataan Biro Politik Bersatu Pusat terhadap Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai tidak tepat, mengelirukan dan berniat mencemarkan kredibiliti parti itu.
Malah, tuduhan kononnya Pas gagal memberikan maklum balas sepanjang krisis adalah fitnah yang tidak berasas, kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata, parti itu masih menyimpan rekod komunikasi terperinci antara Setiausaha Agung Pas dan Setiausaha Agung Bersatu serta bersedia mendedahkannya melalui platform yang lebih sesuai.
Katanya, mesej yang dihantar Setiausaha Agung Bersatu kepada Setiausaha Agung Pas pada 5 Mei lalu hanyalah memaklumkan keputusan mesyuarat tergempar Biro Politik Bersatu Pusat yang mengubah pendirian parti itu.
“Tindakan tersebut bertentangan dengan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini telah dipersetujui bersama berhubung krisis di Negeri Sembilan.
“Fakta yang sengaja disembunyikan adalah tindakan Bersatu menghantar nama calon Menteri Besar Perlis tanpa merujuk Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Fadhli turut menafikan dakwaan bahawa Presiden Pas sengaja tidak hadir menghadap Tuanku Raja Perlis pada 25 Oktober 2025.
“Untuk rekod, tidak pernah Presiden PAS dititah untuk menghadap pada tarikh tersebut mahupun pada mana-mana tarikh sebelum atau selepas kemelut Menteri Besar Perlis berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyindir tindakan pihak tertentu yang didakwa cuba memindahkan kelemahan pengurusan organisasi kepada pihak lain bagi menutup kegagalan sendiri.
Biro Politik Bersatu sebelum ini mendakwa majlis menghadap Tuanku Raja Perlis yang sepatutnya turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibatalkan selepas Abdul Hadi tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dinyatakan.
Biro Politik Bersatu sebelum ini turut menyatakan bahawa selepas UMNO akhirnya memutuskan untuk mengekalkan kerajaan negeri pimpinan PH di Negeri Sembilan, Takiyuddin tidak membalas cadangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya PN bangkit menentang perubahan pendirian UMNO. – MalaysiaGazette
















