Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa kerajaan mengambil tindakan segera susulan penemuan mengejutkan laporan panel siasatan Human Rights Commission of Malaysia (SUHAKAM) berhubung rusuhan di Penjara Taiping yang mengorbankan seorang banduan.

Menurut beliau, laporan itu mendedahkan kematian Gan Chin Eng berpunca daripada kecederaan serius akibat dipukul ketika insiden berkenaan berlaku.

“Punca kematian Gan Chin Eng berdasarkan bukti perubatan yang dikemukakan dalam siasatan tersebut ialah kecederaan abdomen akibat hentakan objek tumpul dan Coronary Atherosclerosis, yang jelas berpunca daripada serangan terhadap mangsa ketika insiden berlaku,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ramkarpal berkata, laporan tersebut turut mendedahkan beberapa banduan lain mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk dan gegendang telinga akibat dipukul pegawai penjara, namun sehingga kini tiada individu didakwa.

“Penemuan itu turut mendedahkan beberapa banduan lain mengalami kecederaan serius seperti patah tulang rusuk dan gegendang telinga akibat dipukul pegawai penjara ketika kejadian, namun sehingga kini tiada sesiapa didakwa berhubung serangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila laporan SUHAKAM mendapati banduan terbabit tidak bertindak agresif, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa serangan berlaku tanpa provokasi.

“Banduan-banduan terbabit tidak bersikap agresif seperti yang dinyatakan dalam laporan itu, sekali gus menunjukkan serangan terhadap mereka berlaku tanpa provokasi dan persoalan mengapa tiada tindakan diambil terhadap pelaku sehingga kini mesti dijawab,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/05/27/jabatan-penjara-teliti-cadangan-suhakam-jadikan-penjara-taiping-muzium/

https://malaysiagazette.com/2026/05/27/siasat-telus-insiden-kematian-tahanan-jika-wujud-unsur-jenayah-prabakaran/

Dalam pada itu, Ramkarpal turut mempersoalkan ketelusan institusi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mengendalikan kes berkenaan.

Katanya, isu itu tidak boleh dilihat sebagai insiden terpencil semata-mata kerana ia turut membabitkan masalah sistemik termasuk kesesakan penjara yang kritikal di seluruh negara.

“Antara punca utama yang dikenal pasti ialah masalah kesesakan penjara yang menurut panel siasatan menyumbang secara signifikan kepada kejadian berkenaan apabila Penjara Taiping ketika itu tidak lagi mampu menampung pertambahan banduan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan tindakan pihak penjara menempatkan banduan di Blok E yang telah ditutup sejak 2021 dan disahkan tidak sesuai digunakan kerana memerlukan pembaikan segera.

Sehubungan itu, Ramkarpal menegaskan kerajaan perlu segera melaksanakan reformasi institusi termasuk memperbaiki sistem penjara, meningkatkan ketelusan siasatan serta memastikan semua pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan dibawa ke muka pengadilan.

Pada Isnin, media melaporkan Panel Inkuiri Awam SUHAKAM dalam keputusan akhir inkuiri berhubung rusuhan di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025 yang menyebabkan kematian seorang tahanan warga emas, mencadangkan Penjara Taiping dijadikan muzium kerana tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara.

Pada Rabu, Jabatan Penjara Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkaitan untuk meneliti laporan serta rumusan panel siasatan awam oleh SUHAKAM berhubung insiden dakwaan provokasi prospek di Penjara Taiping, tahun lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast