Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor siap sedia menggembleng usaha sebaik mungkin untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

PH dalam satu kenyataan bersama-sama memaklumkan, ia kerana tiada pilihan raya yang dianggap mudah dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memenanginya.

“PH Johor ambil maklum pengumuman oleh MB Johor Datuk Onn Hafiz berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa hari ini.

“Dari awal lagi PH telah menjangkakan BN akan membubarkan DUN dalam masa terdekat. Dan ternyata sidang DUN yang diumumkan akan diadakan pada 22 Jun nanti adalah ‘tidak masuk akal’ sama sekali,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan secara bersama-sama itu melibatkan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Ni Ching.

Hari ini Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN  bagi memberi laluan kepada PRN.

Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.

Mengulas lanjut, PH Johor atas semangat demokrasi akan meneruskan persiapan sedia ada bagi menghadapi pilihan raya ini.

Pada masa sama PH Johor juga akan memanjangkan perbincangan ke peringkat Majlis Presiden PH Pusat bagi merangka langkah seterusnya.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast