Datuk Dr. Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) Johor sedia bertanding di semua 56 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) ke-16.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pengumuman itu susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

“Kita bersedia dengan pelaksanaan PRN pada bila-bila masa, tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya baru sahaja dengar cerita (pembubaran DUN), sehubungan itu PN Johor sudah maklum akan perkembangannya ini dan kita sedia untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu, pihaknya juga menerima permohonan daripada beberapa parti politik lain untuk bergabung dengan PN dalam PRN akan datang.

“Pada masa sama, saya telah arahkan agar jentera-jentera PN diaktifkan dan gerak kerja menjelang PRN dimulakan segera,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu.

Hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast