JOHOR BAHRU – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadual diadakan pada 22 Jun ini dibatalkan.
Sidang DUN khas tersebut terbatal selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN, semalam.
Speaker DUN Johor, Datuk Mohd. Puad Zarkashi ketika dihubungi mengesahkan mengesahkan perkara tersebut yang sebelum ini tular dalam media sosial.
“Batal,” katanya secara ringkas apabila diminta mengulas sama ada sidang DUN khas itu diteruskan.
Pada 29 Mei lalu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor memaklumkan mereka telah menerima notis memanggil Sidang DUN pada 22 Jun.
Antara yang mengesahkan perkara itu termasuklah penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal; penyandang DUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dan juga penyandang DUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan.
Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.- MalaysiaGazette
















