Temubual Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Mohd Zaidi Md Zain di Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 03 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi antara faktor utama dijangka membantu Barisan Nasional (BN) mempertahankan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, prestasi kerajaan negeri di bawah pimpinan Onn Hafiz mendapat penerimaan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Menurut beliau, rakyat Johor kini lebih menilai kemampuan kerajaan menangani isu kos sara hidup, ekonomi dan pelaburan berbanding sentimen politik semata-mata.

“Saya melihat kepimpinan Datuk Onn Hafiz disukai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga masyarakat Cina dan India.

“Kebijaksanaan beliau memimpin Johor telah membantu meningkatkan prestasi ekonomi negeri dan menarik pelaburan yang besar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bangsar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pencapaian Johor dalam menarik pelaburan bernilai lebih RM100 bilion membuktikan kemampuan pentadbiran kerajaan negeri.

“Faktor tersebut memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus memberikan mandat kepada BN bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Johor merupakan antara negeri yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast