Tangkap layar rakaman CCTV kejadian curi di hadapan pejabat Ahli Parlimen Bentong.

KUANTAN – Bantuan sudah diterima, tapi masih mencuri.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman meluahkan rasa kesal dengan kes kecurian yang berlaku di hadapan pejabatnya di Bentong semalam.

Beliau berkata, kejadian itu membabitkan orang awam yang datang ke pejabatnya untuk memohon bantuan.

“Saya difahamkan oleh pegawai saya yang sedang bertugas ketika itu, mangsa dan suspek merupakan orang awam yang datang ingin memohon bantuan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Young Syefura, pegawai bertugas di pejabatnya telah menyerahkan bantuan kepada suspek, namun selepas itu, suspek bertindak mengambil barangan peribadi milik individu lain ketika di luar pejabatnya.

Lebih buruk, beliau dimaklumkan bahawa suspek telah menggunakan kad bank milik mangsa dan membuat pembayaran menggunakan duit mangsa.

“Mangsa telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan saya serahkan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Tapi, saya amat kesal dengan kejadian seperti ini. Kita telah memberikan bantuan sepatutnya, namun suspek masih lagi melakukan perbuatan mencuri ini,” katanya.

Sebelum itu, Young Syefura menerusi laman Facebooknya menyiarkan klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu berdurasi 1 minit 30 saat yang memaparkan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast