BATU PAHAT – Malaysia berpotensi memperoleh akses kepada antara telaga gas terbesar di dunia menerusi jalinan kerjasama strategik antara Petronas dan Turkmenistan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan lawatan rasmi ke negara itu dalam masa terdekat untuk memeterai kerjasama sektor tenaga tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha itu bakal direalisasi menerusi kerjasama strategik dengan negara berkenaan dan Petronas.
“Ada delegasi (akan) ke Turkmenistan (pada pertengahan Jun), saya beritahu kepada Petronas, ‘Jangan (sebab) pilihan raya lagi, nak ke sana perlu pergi dua hari’.
“Tetapi, kalau saya pergi, jaminan daripada Turkmenistan, insya-Allah Petronas akan dapat zon telaga gas antara yang terbesar di dunia,” kata Anwar.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre di sini malam tadi.
Anwar berkata, meskipun jadual beliau padat dengan pelbagai urusan termasuk pilihan raya negeri, kepentingan strategik negara dalam sektor tenaga memerlukan komitmen berterusan kerajaan untuk meneroka peluang baharu pada peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global, di samping menjamin keselamatan bekalan tenaga negara pada masa hadapan.
Mengulas tentang lawatan ke negara di Asia Tengah itu, Anwar mengakui beliau kini bukan lagi seorang lelaki muda dan tidak gemar untuk melakukan perjalanan jauh seperti sebelum ini, namun menganggap tugas itu sebagai satu pengorbanan yang mesti diambil.
“Tetapi untuk negara, saya tidak ada pilihan. Saya pergi juga (Turkmenistan) dan mudah-mudahan kita dapat simpanan gas yang besar di rantau ini,” ujarnya.
Beliau berharap komitmen dan pengorbanan merentasi jadual yang padat itu akan membuahkan hasil yang besar kepada sektor tenaga negara kelak.
Tambah Anwar, usaha dan komitmen berkenaan digerakkan secara khusus bagi membantu pembangunan dan ekonomi negara termasuk di Johor.
Tegas Ahli Parlimen Tambun itu, biar pun kini dalam mod pilihan raya di dua negeri tetapi perkara tersebut tidak dilupakan.
Ujarnya, kepentingan negara kekal menjadi keutamaan dalam memperluas kerjasama ekonomi dan tenaga.- MalaysiaGazette















