Masha Group berjaya membantu melahirkan ribuan pengasas produk bergelar jutawan menerusi ekosistem pembangunan jenama yang komprehensif dan diyakini ramai.

KUALA LUMPUR – Kilang pengeluaran berasaskan pengilang peralatan asal (OEM) iaitu Masha Group melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan lebih 500 jenama produk sejak berada di pasaran 10 tahun lalu.

Pengasasnya, Enica Foong berkata, jenama itu merangkumi produk penjagaan kulit, suplemen kesihatan, kosmetik dan solekan, penjagaan badan serta penjagaan rambut sekali gus melahirkan ramai usahawan yang bergelar jutawan produk termasuk selebriti.

Menurut beliau, kejayaan dicapai hari ini bukan datang dalam tempoh singkat sebaliknya dibina bermula daripada bawah dengan visi mahu membantu lebih ramai individu membina empayar perniagaan sendiri.

“Masha Group bukan sekadar sebuah kilang OEM biasa tetapi sebuah ekosistem lengkap yang membantu usahawan daripada peringkat idea sehingga produk berjaya dipasarkan ke peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ramai usahawan ada idea produk yang bagus tetapi mereka tidak tahu bagaimana mahu bermula terutama dari segi penyelidikan dan pembangunan, pengilangan, pensijilan Kementerian Kesihatan dan pemasaran.

“Sebab itu Masha Group diwujudkan bagi membantu usahawan fokus kepada penjenamaan dan jualan, manakala kami menguruskan segala aspek teknikal sehingga produk benar-benar bersedia untuk dipasarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Enica Foong.

Enica turut menegaskan, Masha Group tidak mengamalkan pendekatan formulasi ‘tiru-tampal’ seperti kebanyakan kilang OEM biasa sebaliknya setiap produk akan dikaji secara teliti berdasarkan sasaran pengguna, fungsi produk dan pengalaman yang ingin dibawa oleh sesebuah jenama.

Katanya, setiap jenama mempunyai identiti tersendiri dan memerlukan pendekatan formulasi yang berbeza bagi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti serta mampu memberi impak jangka panjang kepada pengguna.

“Bagi kami, produk yang berjaya bukan sekadar viral atau laris sekali, tetapi produk yang pengguna mahu beli semula kerana benar-benar merasai manfaat dan kualitinya.

“Kami percaya OEM bukan sekadar menghasilkan produk namun membina kepercayaan pengguna melalui formulasi yang dibangunkan dengan teliti dan penuh tanggungjawab.

“Ini kerana semua bahan mentah yang digunakan diperoleh daripada pembekal berkualiti tinggi bagi memastikan setiap produk memenuhi standard keselamatan, keberkesanan dan inovasi semasa,” katanya di mana syarikat itu beroperasi di Puchong, Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast